Sunday, October 31, 2010

31/10 – Hari Kelahiran Seorang Insan Paling Kool Pernah Aku Kenal. Re-Update : Bicara dengan Bapa.

***Entri ini aku pernah post suatu ketika dulu, di bawah tajuk Bicara dengan Bapa. Hari ini di tanggal kelahiran baba aku, Encik Ab. Maalek bin Omar, maka aku re-post sekali lagi. Seperti biasa, memang famili aku tak pernah menyambut hari kelahiran, dan aku pula hanya mengucap selamat melalui SMS.

Hadiah atau kek berlilin? Jauh sekali.

Itu hari aku emo sikit masa wish beday mak aku, tapi hari ni mood emo tak datang. So, gua buat-buat kool jek.

Ok, kepada baba, walopun mungkin tak baca blog ni, tapi Abu nak ucapkan Selamat Hari Jadi ke……bape ek? Sori tak ingat. Erk….Nanti nak congak, 1962, bape? Oh, 48? Yeah.

Semoga terus kool menjalani hidup yang perit ini.

Sori Abu rasa banyak menyusahkan Baba, menambah serabut Baba kerana mewarisi kepala otak yang sama keras.

Dan, lastly, er, jangan kuat sangat tido. Nanti anak-anak mu yang kecil ini mudah terpengaruh.***

 

BICARA DENGAN BAPA

Maghrib tadi Cik Mira jiran depan rumah aku datang ke rumah, berjumpa mak aku, perlukan pertolongan katanya.

Aku yang sedang melagho dalam bilik melayan internet terdengar perbualan diorang. Suami Cik Mira ada bukak kantin kat kem tentera mana entah, dan masalahnya adalah pabile anak sedare diorang merangkap tukang bancuh air kat kedai diorang tu balik kampung, mak sakit katanya.

Cik Mira pun bertanyakan la kepada mak aku kalo-kalo ada anak muda belia remaja yang boleh take-over keje tu, sementara pun jadilah.

Ops, aku mula merasakan perbincangan diorang akhirnya tertuju kepada aku. Siapa lagi anak muda belia remaja yang sedang menganggur kat rumah ni sekarang selain aku. Adeh, ini kerahan tenaga ni. Lalu otak aku berputar ligat mencari alasan.

Cik Mira memerlukan jawapan segera, sebab besok pagi nak pakai orang tu. Dan kalo aku sanggup, aku kena keluar rumah seawal 5 pagi dan hanya akan pulang selepas 5 petang. Cik Mira cakap kerja tak banyak, sebab kedai tu dalam kem, pelanggan pun orang situ je, cuma still kena jugak la pekerja on-call kan? Air tu mana boleh bancuh diri sendiri.

So, seperti dijangka, mak aku bukak pintu bilik dan menceritakan segala-gala, yang sebenarnya aku dah tahu pun. Saje dengar balik sambil-sambil cari idea nak guna sebagai alasan. Tak nak owh!

"Apis!" aku mencadangkan satu nama sebagai jawapan. Apis tu adik aku, tapi mak lain. Dia duduk dengan mak dia kat blok yang sejauh 15 minit berjalan kaki dari blok aku tinggal. Dia pun tengah menganggur jugak sekarang ni.

"Suruh Apis la mak, Abu kan dah nak masuk UM balik minggu depan. Serba salah je keje 4 hari." Aku memberikan alasan yang boleh dikire agak kukuh la jugak.

So, mak aku pun call bapak aku, dan diorang pun bersembang apa ntah, agak-agak dalam 5 minit la jugak. Then tak lama mak aku masuk bilik aku balik,

"Baba cakap dia lagi suka kalau Abu yang pegi."

"Hah?? Sebab??" aku protes beb. Apa tak kukuh ke alasan aku bagi?

"Sebab Abu kan lagi besar. Lagi matang baba cakap"

"Heh?" aku tak faham signifikan pernyataan di situ. Apis pon dah besar ape?

Then mak aku pun keluar jumpa Cik Mira balik, dan berjanji akan beri jawapan malam ni jugak. Nampak gaya akan ada seorang yang akan terkorban, sama ada aku atau Apis.

Dan mak aku pun masuk bilik balik, cuba mendapatkan keputusan aku (sambil-sambil mendesak, secara lembut la, u know, mother's skill). Macam-macam la sebab musabab diberi kenapa aku kena pegi jugak, daripada mendapat gaji rm20 sehari sehinggalah kewajipan menolong jiran di dalam kesusahan.

Dan aku jugak menepis dengan pelbagai alasan, kononnya aku perlu bersiap-siaga untuk memulakan sem baru, tak berbaloi kalo keje setakat empat hari, sehinggalah tak nak menyusahkan Cik Mira nak mengajar orang baru 2 kali. Ye la kalo aku masuk, dia kena ajar skil-skil menjadi pembancuh air profesional, lepas empat hari, minggu depan kena ajar orang baru lak. Kan ke menyusahkan dia tu?

Dan kaya putus di depan mak aku, NO. Aku tak pegi.

So, mak aku call bapak aku untuk cuba mendapatkan si Apis tu untuk bekerja, tetiba mak aku cakap bapak aku nak cakap ngan aku lak. Ayark, pedehal ni? Aku dah la paling lemah bila ber-mantik dengan bapak aku.

"Ha Abu, nape tanak pegi?"

"Ala, serba salah la 4 hari je, baik suruh Apis keje direct terus, tak kena Cik Mira susah-susah ajar orang baru 2 kali"

"Alah ape yang susahnye, bukan keje gaji ribu-ribu. Abu pegi la cari pengalaman, jangan rasa rendah diri. Masa ni la nak belajar bergaul dengan masyarakat kat bawah, esok nanti awak jadi orang besar, awak faham la apa perasaan orang bawah"

Aiseh. Kan aku dah cakap. Bapak aku terer mantik?

" Ish, Abu tak pandang hina la keje ni. Tapi tu lah. 4 hari je. Minggu depan dah nak bukak U balik dah"

"Habis tu kenapa la kalau 4 hari? Kalau 1 hari pun pengalaman jugak. Awak orang pintar, pegi sana belajar la. Manataw esok-esok nak bukak bisnes sendiri, kurang-kurang dah ada pengalaman. Kita nak bisnes ni jangan memilih, apa-apa je boleh buat kite jalan. Awak tu ada otak, mesti dapat belajar punye"

Aduh. Bapak aku dah bukak cerita bisnes pulak. Memang harapan dia nak ada bisnes famili sendiri, kalau bole anak-anak die la yang usahakan. Tetiba aku teringat suatu perkara yang boleh selamatkan aku.

"Eh, memang tak boleh la ba, esok Abu kan ada appoinment dengan kaunselor UM. Yang pegi minggu lepas tak jadi tu. Patutnya hari ni, tapi tadi dia call nak jumpa esok pulak." - Yeah, hatiku bersorak. Kali ni mesti lepas ah!

"Hmmm. Ye ke? Mana-mana Abu lah. Baba bukan ape, untuk kebaikan Abu jugak. Bapak awak ni bukan nak suruh awak buat benda yang boleh bawa keburukan, semua untuk kebaikan. Takpelah kalo macam tu. Ikut suka awak lah"

nada kecewa kudengar di hujung talian. Tapi memang aku tak tipu, aku betul-betul ada appointment dengan kaunselor esok, cuma tadi tak ingat bila aku mem-beta dengan mak aku.

Dan keputusan tercapai, aku menang, Apis "terkorban".

Malam sikit, Apis datang rumah aku. Bapak aku hantar, dia terus keluar keje pusing stereng teksi. Aku tak jumpa dia lagi.

Tibe-tibe henset aku berbunyi, satu mesej diterima, daripada bapak aku.

"Nak royat ba dulu pun sekolah tak rendah sangat. Sempat sampai HSC (STPM) kiranya standard diploma la. Sekolah pun bawah sikit dari Abu, Sultan Ismail College (english medium-standard benar zaman tu jadi kebanggaan)

Keja ba tak pilih. Penah keja restoran mamak, keja kontrak bancuh simen tgh2 panas mcm indon, jual buah atas ketapi dari pasir mas sampai gemas, jual ikan, sayur, texi, bussinessman, director, managing director, sampai manila, singapore, amsterdam, paris, england, dan sekarang kucing kurap.

Ba tak pernah menyesal. Itu adalah adventure baba."

Aku tergamam. Mesej tu aku tak reply, sebab aku tak tahu macam mana nak reply.

Aku cuma memandang kehidupan aku. Apakah "adventure" aku pula?

Adakah dalam masa beberapa tahun akan datang, aku akan memandang kembali ke masa silam dengan seribu ratus juta pengalaman, atau sama seperti sekarang, yang memandang ke masa silam dengan harapan untuk kembali dan melakukan segala-gala yang telah aku lepaskan?

Sigh. TQ dad. And sorry.

Aku pun nak "mengembara".

p/s: sebenarnya yang terkorban itu aku, bukan Apis. Baru aku sedar.

 

****************************************TAMMAT***********************************************************

p/s : serius gua bangga ada bapak macam bapak gua, walopun tidak kaya, hanya menjadi supir teksi, tapi gua rasa kepala otak bapak gua antara yang paling brilliant gua penah jumpa.

Gua kaki debat, especially dengan mak gua, juga dengan kawan-kawan yang suka debat, tapi dengan bapak gua, gua rasa gua selalu kalah.

Cuma, kali ni, ada satu isu yang sedang mencetuskan perang dingin antara kami. Ish.

Maaf, baba.

 

 

p/p/s : Semoga keluarga kami kekal sampai ke syurga. Amin.

Sambungan kenapa manusia bodoh, plus cerita gila vs genius

image

Ah, malas betul nak menulis blog. Tapi disebabkan itu hari aku ada menulis satu entri yang tergantung, maka aku rasa itu merupakan satu tanggung jawab aku untuk menyempurnakan apa yang telah aku mulakan.

Walaupun mungkin takde orang nak baca pun sebenarnya.

Tapi aku malas nak melabon panjang, pasal aku bukan pakar dalam isu kepala otak ni. Aku terus lompat kepada konklusi la, sebenarnya apa yang aku nak bagitau hari tu, aku rasa demi mengekalkan kesejahteraan otak (atau minda atau akal) maka kita seharusnya lebih banyak bergerak.

Kehidupan zaman moden yang dipenuhi teknologi dilihat telah memudahkan hidup manusia (walaupun hakikatnya lagi merumitkan ada lah), terutama dalam pergerakan. Tapi dalam masa yang sama, pergerakan anggota tubuh manusia telah diminimumkan. Manusia bergerak dengan teknologi, naik kereta, motor, LRT, tapi bila masa pula otot-otot badan mereka digerakkan?

Kenapa pentingnya pergerakan anggota tulang empat kerat ini? Kerana melalui pergerakan tulang empat kerat inilah otak akan disuap oksigen dengan semaksimum mungkin. Menjadikan otak lebih cerdas dan segar, aku harap.

Dan lagi satu, kehidupan pasif kita hari ini juga dianggap betul dan tepat dan itulah yang harus diamalkan. Contoh aku ambil, belajar, kita diberitahu sejak dahulu, melalui pengamalan dan budaya sekeliling, untuk belajar perlu fokus. Bila kata fokus kat sini bermaksud perlu duduk diam-diam atas kerusi, badan tegak, mata dibulatkan dan sedaya upaya cuba untuk memahami tiap-tiap butir kata yang keluar dari mulut guru, ataupun tiap patah kata buku yang kita baca.

Tapi persoalannya, adakah perkara ini benar? Begitukah hakikat sebenar proses pembelajaran manusia? Ataupun sebenarnya kita telah membuat asumsi yang salah selama ini?

Mengapa tidak pernah dicuba untuk belajar dalam suasana yang lebih loose, longgar, dan santai. Ataupun pernah kah korang mencuba membaca buku sambil berjalan-jalan, berdiri? Aku pernah membaca satu kitab pasal “Hukum Otak”, dan penulis yang merupakan seorang ahli biologi yang mengkaji pasal otak berkata, sekarang beliau telah meletakkan satu “mesin treadmill” dekat ofis tempat dia bekerja, dan akan berjalan di atas mesin itu sekiranya mahu membaca ataupun membuat kerja. Rasionalnya? Macam pakcik-pakcik selalu cakap, badan cargas otak pikap.

Ok itu satu hal, aku belum lagi komen tentang budaya pembelajaran yang membunuh potensi sebenar kepala hotak kita. Lupakan yang itu. Aku nak masuk topik baru.

Sepertimana yang telah aku tajukkan, genius vs gila. Baru-baru ini aku semacam berminat untuk memahami pemikiran orang gila.

Semua berpunca daripada masalah diri aku. Semenjak dua menjak ini, banyak perkara yang aku lakukan seolah-olah tiada rasional. Perkara ini tidak merunsingkan aku sebenarnya, tapi setelah terlalu banyak komen-komen dan kritikan, aku mengambil keputusan untuk memandang kembali diri aku.

Antara perbuatan songsang yang aku lakukan adalah aku telah ponteng kelas selama sebulan, dan aku langsung tidak mempunyai apa-apa rasa bersalah, gelisah mahupun resah atas hal ini.

Alah, ponteng, bukan kool sangat pun. Memang la tak kool, tapi aku rasa majoriti manusia tak boleh terima apa yang aku buat ini. Walaupun mereka mendakwa diri mereka sebagai pejuang kebebasan anti-kapitalisme, tapi di peringkat akhir, mereka tetap mengikut perjalanan sistem yang ada.

Maka, berlaku pertembungan idea kat sini, sama ada aku yang bodoh, atau aku yang pandai.

Mungkin aku juga terlalu idealis, dan mereka benar kerana nak tak nak, realiti menuntut untuk mengikut sistem yang ada.

Tapi bila bicara soal idea, sebenarnya aku rasa aku juga bukanlah seorang penganut fahaman suatu ideologi anti-kapitalisme yang benar-benar beriman. Senang kata, aku mana ada baca buku-buku falsafah ekonomi semua tu, sampai aku mampu membuat keputusan bahawa ini salah dan itu benar.

Mungkin aku hanya menggunakan semua itu sebagai alasan untuk menyembunyikan masalah sebenar aku, kenapa aku taknak belajar, iaitu diri aku sendiri.

Sebab bila aku fikirkan, ketidak-rasionalan aku menilai benda tidak terhad kepada belajar saja, bahkan kebanyakan benda. Aku mula memandang semua benda yang ada di sekitar aku, dalam hidup aku, sebagai tiada erti, tiada nilai, tiada makna. Lalu menyebabkan aku tidak terdorong pun untuk melakukan apa ayng seharusnya aku lakukan.

Sindrom mati-perasaan ini membawa aku kepada satu asumsi bahawasanya aku ini mengalami masalah dalam kepala otak (mental).

Walaupun aku telah pernah berjumpa psikiatri dan dikatakan menghidap kemurungan, namun persoalan aku, daripada mana kemurungan itu datang? Aku stress bukan kerana aku tertekan dengan kehidupan, tiada duit, asaimen berlambak, ataupun putus kasih dengan awek, tapi aku stress apabila memikirkan kenapa aku TIDAK STRESS apabila berdepan dengan perkara-perkara yang seharusnya menekan aku.

ABSOLUTE ZERO STRESS – efeknya, semua benda aku tak buat. Best ke hidup macam tu?

Lalu aku mula mengkaji, membaca laman-laman internet pasal individu yang gila, lalu terjumpa perkaitan yang menarik antara gila dan genius.

Rupanya memang ramai individu yang diiktiraf genius mengalami masalah kepala otak. Ada yang skizo (mengalami split personaliti, berhalusinasi), bipolar disorder, depress, bla-bla-bla. Korang google kan je la, banyak korang akan jumpa. Type “Mad + genius”.

Dan semalam men-download satu filem, “A Beautiful Mind”, juga satu cubaan untuk mendalami misteri sifat kepala otak.

Cuma yang anehnya, aku perasan entah kenapa ramai juga dalm kalangan teman-teman aku yang secara tidak langsung membincangkan tentang isu ini. Seolah-olah isu genius-gila menjadi trend. Aku baru terfikir, kemudian benda tu datang mencurah-curah ke ladang gandum.

Ish, pelik ni.

Sampaikan semalam, aku terdetik, jika antara genius dan gila, mana yang datang dulu? Dan sekiranya gila itu mampu membawa kepada kegeniusan, bolehkah kita sengaja menggilakan diri untuk menjadi genius?

Dan aku merasakan aku seolah-olah berminat untuk jadi “gila” andainya “gila” itu mampu membuat aku lebih tajam dalam mengguna otak.

Haha. Adakah aku sudah gila apabila berfikir begini?

Dan semalam, aku juga telah berhadapan dengan fenomena genius-gila yang sebenar. Seperti dalam cerita “A Beautiftul Mind”, seorang genius tapi mengidap skizo lalu otaknya mula mencipta individu-individu palsu, untuk melengkapkan kehidupan mereka.

Sungguh menakutkan, kerana mereka sangat real, tapi dari satu sudut, sangat indah hidup mereka.

Dan yang paling penting, kepala otak mereka amat hebat.

Dan berhadapan dengan fenomena skizo membuatkan aku mula mempersoal tentang realiti kehidupan aku selama ini. Benarkah apa yang telah aku lalui? Benarkah dunia yang aku lihat kini? Benarkah kamu wujud? Ataupun hakikatnya kamu semua adalah halusinasi aku sahaja?

Apakah selama ini aku memang telah gila?

Dan kamu juga, tidak pernahkah terfikir begitu?

 

 

 

P/s: serius-shit aku rela kepala otak berhalusinasi jika sekiranya dengan itu aku mampu berpikiran lebih gila

Saturday, October 30, 2010

29 September – Tanggal Kelahiran Insan Terindah dalam Hidup, Gadis Elektrik Aku

p/s : gua nangis masa tulis ni – bagitau ni bukan mintak puji, tapi nak cakap, gadis elektrik gua saja boleh buat gua kena renjatan.

*Klik play untuk dapat feel gadis elektrik*

*gadis bawah ini bukan gadis elektrik gua*

Hangat nafasmu

menggoncang kalbu

Harum tubuhmu

mengikat jiwaku

INGIN KUBERIKAN DUNIA
ANDAI KUPUNYA KUASA

Sungguh, aku tidak ingat hari ini hari lahirmu. Bukan kerana tidak tahu, tapi kerana menyambut hari lahir bukanlah perkara tahunan yang biasa kita lakukan.

Jujurnya, aku tahu tanggal hari lahirmu pun agak lewat, seingat aku selepas habis sekolah, selepas aku kononnya telah semakin dewasa. Sebelum itu, tak pernah aku peduli, tak pernah aku rasa ingin menyambutnya, kerana, seperti yang telah aku nyatakan, menyambut hari lahir bukanlah amalan yang biasa kita lakukan.

Aku juga tidak ingat sudah berapa kali aku menyatakan ucapan Selamat Hari Lahir kepadamu, mungkin hanya sekali, dua kali, atau hanya tiga, tapi yang pasti tidak lebih lima.

Menyambut dengan kek beserta tiupan lilin? Langsung tidak pernah.

Hadiah hari lahir? Haha.

Dan seperti biasa, aku tidak tahu hari ini hari apa, sehingga engkau yang mengingatkan aku dengan sekeping SMS petang tadi.

Maaf kerana kecuaian.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Engkau adalah gadis pertama yang aku kenal. Aku rasa engkau juga adalah satu-satunya gadis yang paling memahami aku, mungkin lebih daripada diri aku sendiri.

Paling sayang kepada aku.

Dan akan sentiasa sayang kepada aku.

Sehingga akhir hayat, tidak kira aku atau engkau yang pergi dulu.

Jika tidak, masakan engkau akan tabah berseorangan di lembah penuh cabaran itu, bertahun-tahun lamanya, tanpa siapa di sisi, hanya teman-teman yang tiada pertalian darah, bukan saudara, bukan keluarga, tetapi orang asing.

Namun mereka itulah keluarga engkau selama engkau keseorangan membuktikan cinta.

Engkau membuktikan cinta, bukan untuk mengharapkan nama. Bahkan jauh sekali mengharap balasan cinta dariku. Semua hanya semata-mata cinta.

Cinta engkau kepada aku.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Aku rasa aku tidak pernah mengucap rasa sayang kepadamu. Ungkapan cinta, jauh sekali.

Entah. Aku biasa saja mengucap sayang kepada gadis-gadis lain, yang datang dan pergi dalam hidup aku.

Tapi kenapa, apabila berada di hadapanmu, gadis yang datang untuk mencintai aku, dan takkan pergi buat selama-lamanya, aku tidak tahu berkata sayang. Aku tidak reti membahasakan cinta.

Kononnya cinta dan sayang itu tidak perlu diluah melalui bahasa, buktikan saja dengan perbuatan dan tingkah. Hati cuba membujuk diri, memberi alasan.

Atau mungkin juga kerana malu? Atau terlalu ego? Atau aku takut aku akan menangis sekiranya menuturkan kata itu di hadapanmu. Sungguh, kata-kata itu akan hadir dengan air mata, hanya apabila bila aku luahkan kepadamu. Mungkin kerana ia benar datang dari hati.

Bukan seperti gadis-gadis lain, yang aku cuba untuk sayangi, hanya demi kehendak peribadi.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Aku rasa kita selalu bergaduh. Bergaduh bukan kerana salah engkau, tapi aku yang terlalu besar kepala.

Semakin aku besar, semakin aku rasa aku lebih pandai, dan tiap tutur katamu aku rasa bagai tiada erti. Dan setiap kali itu jugalah, aku meninggikan suara, melawan hujahmu.

Namun setiap kali, engkau tidak pernah memarahi aku. Tidak pernah mempertahan status-quo. Malahan engkau yang mengalah, bahkan cuba memujuk menenangkan aku kembali, sehingga akhirnya aku yang malu dan sesal sendiri.

Namun sekali lagi, sesal itu hanya dalam hati, tidak pernah mampu kuluah dengan bicara.

Betapa sombongnya aku!

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Aku hanya mampu menulis. Hendak kuluah dengan kata-kata, aku tidak mampu. Aku sendiri tidak tahu, kenapa diri ini semakin celaka, semakin hilang rasa.

Seharusnya aku yang berdiri di sini kini, mempunyai satu rasa sedar dalam diri, untuk kembali berbakti, untuk kembali membalas segala jasa yang telah engkau taburkan, walaupun engkau tidak pernah meminta, namun itukan tanggung jawab seorang pencinta?

Aku ingin mencintai-mu.

Aku wajib mencintai-mu.

Namun aku semakin hilang rasa.

Di saat aku menulis, aku rasa seperti ingin menangis. Menangis bukan kerana aku mengenangkan segala pengorbanan yang telah engkau curahkan kepada aku, sebaliknya menangis kerana aku tidak mampu merasa semua itu.

Hati ini telah mati.

Mati terhadap segala-galanya, termasuk segala jasa dan kasih yang telah engkau curahkan, walaupun semuanya ada di depan mata.

Mungkin-kah aku akan membuat engkau kecewa kelak?

Aku tidak ingin semua itu, tapi aku juga seolah-olah tidak mampu mengawal apa yang bakal terjadi. Semakin hari aku merasakan diri ini semakin hilang, semakin jauh daripada norma-norma biasa.

Bahasa mudah, aku makin hilang waras. Akan gila barangkali? Akan hilang masa depan? Apa akan jadi pada aku?

Hanya Tuhan yang tahu.

Tapi aku tahu, walaupun apa juga bakal jadi ke atasku, engkau akan tetap di situ, seperti sekarang, seperti dahulu, dan seperti masa depan, engkau akan sentiasa sayang kepada aku.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Engkau seorang gadis paling tabah, paling cekal pernah aku jumpa.

Menyelusuri kembali perjalanan hidupmu, hanya akan membuatkan aku kagum. Kagum pada kegagahan seorang gadis dalam meneruskan hidup, sambil melindungi diriku daripada kematian, tanpa sokongan sesiapa, hanya berbekalkan harapan pada Tuhan.

Dan sekali lagi aku membenci diriku, kenapa aku tidak seperti kamu? Kenapa aku terlalu rapuh menjalani hidup ini? Baru digigit semut sudah menangis, sudah merajuk, sudah terduduk, sedangkan engkau berdepan dengan harimau, naga, bahkan jika seluruh isi dunia menentangmu, engkau pasti akan bertahan sehingga akhirnya.

Semua kerana hanya demi membuktikan cinta.

Tidak. Engkau tidak mahu membuktikan apa-apa. Kerana pembuktian itu, mengharapkan kemahsyuran, mahu disebut-sebut, mengharapkan pembalasan.

Engkau melakukannya hanya kerana cinta. Hanya kerana cinta engkau kepada aku.

Engkau memang hebat.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Apa lagi bahasa bunga-bunga yang harus aku tuliskan.

Apa lagi yang harus aku nyatakan? Kerana walaupun tulisan ini untuk engkau, tapi aku tetap tidak berani untuk meluahkannya kepada engkau.

Apa sakit aku ini? Malukah? Egokah? Sombongkah?

Aku juga tidak tahu.

Akhirnya nukilan ini hanya akan berhenti di sini. Bersemadi di sini. Dibaca oleh sekalian manusia tetapi bukan kamu.

Maafkan aku kerana aku ini lemah jiwa.

Maafkan aku kerana aku tiada upaya.

Maafkan aku kerana tidak menjadi seperti yang seharusnya.

Maafkan aku kerana tiada rasa.

Maafkan aku.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Terima kasih kepadamu.

Terima kasih kepada Tuhan yang telah melahirkan kamu pada tanggal ini.

Terima kasih kepada kamu kerana ada, kerana tanpa kamu, aku tiada.

Terima kasih atas segala jasa.

Terima kasih atas segala kasih dan manja.

Terima kasih atas segala lelah dan usaha.

Terima kasih atas segala yang telah engkau suapkan.

Terima kasih atas layanan.

Terima kasih atas didikan.

Terima kasih atas ajaran.

Terima kasih atas segala wang yang telah engkau laburkan.

Terima kasih atas segala kepedihan yang engkau tanggung demi aku.

Terima kasih atas segala kesakitan yang engkau rasakan demi aku.

Terima kasih kerana pernah mempertaruhkan nyawa demi aku.

Terima kasih kerana pernah memarahi aku.

Terima kasih kerana pernah membuat aku ketawa.

Terima kasih kerana tetap menerima aku, apa adanya aku.

Terima kasih kerana engkau akan sentiasa dan selama-lamanya berdoa untuk aku.

Terima kasih atas cinta.

Terima kasih atas sayang.

Terima kasih atas syurgamu.

Terima kasih……..atas segalanya.

 

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Semoga Tuhan sentiasa merahmati gadis elektrik aku.

Maziah Wan Ismail. Ibu mithali aku, selama-lama.

“Mak, maaf kerana luahan Abu hanya di dalam blog. Selamat hari jadi. Maaf segala-gala. Maaf segala-gala. Maaf segala-gala.”

“Tuhan, Engkau peliharalah mak aku. Janganlah Engkau biarkan mak aku merana kerana aku. Dunia akhirat”

Wednesday, October 27, 2010

Kenapa Manusia Bodoh?

Kenapa alam ini dipenuhi kerosakan? Kenapa alam ini kucar-kacir? Kenapa banyak keputusan dan tindakan yang dilaksanakan oleh manusia akhirnya membawa kepada keburukan?

Tindakan yang salah, secara simplistiknya, boleh dilabelkan bodoh. Kenapa manusia bodoh?

Ini pandangan aku. Hanya pandangan, mungkin betul, mungkin salah. Mungkin juga ini pandangan yang bodoh, kerana aku telah melalui satu kehidupan yang akhirnya memperbodoh aku.

Aku rasa manusia itu bodoh kerana manusia semakin kurang bergerak.

Manusia dilahirkan dengan anggota badan yang perlu bergerak untuk hidup. Secara asalnya, kehidupan awal manusia yang serba ringkas serta primitif memerlukan mereka bergerak secara aktif. Terlampau aktif.

Mencari makanan, perlu bergerak. Berlari mengejar binatang, berenang menangkap ikan, memanjat pokok untuk buah.

Apabila diburu binatang buas, manusia juga terpaksa berlari.

Dengan pergerakan, manusia menggunakan semua deria, menjadikan otak lebih cargas dan pikap. Laju.

Bak kata pepatah yang selalu disebut-sebut orang tua, “Badan sihat, otak cargas cerdas”

Bil-makna, kecergasan tubuh badan merupakan perkara asas yang perlu diutamakan sekiranya ingin menjadi bijak pandai. Kerana otak juga merupakan sebahagian daripada anggota tubuh badan, dan otak memerlukan makanan untuk kekal segar, iaitu oksigen.

Untuk memberikan makanan kepada otak, maka oksigen perlu disalirkan. Dan kehidupan yang cargas akan memaksimumkan kapasiti oksigen yang meresap ke dalam otak.

Selain itu, otak juga perlu bersenam.

Tapi otak tidak seperti otot lengan yang boleh mengangkat dumbell sekiranya ingin digagahkan. Untuk menjadikan otak itu taff, maka senaman otak diperlukan.

Senaman otak dapat dilakukan dengan cara engkau merangsang otak untuk bekerja. Bekerja dengan berfikir. Mungkin bermain sudoku. Atau membuat soalan-soalan latihan matematik.

*bersambung – aku pergi bersukan* 

Sunday, October 24, 2010

gua ketagih

Twitter macam haram. Macam dadah.

Gua dah ketagih. Syialan.

Amaran, jangan main, nanti rosak akhlak.

Semoga enta-enti semua kekal mulia dan sopan.

 

 

p/s: sebenarnya gua tensen, seharusnya weekend ni balik rumah, bermanja-manja dan berbakti kepada ibu ayah. Tapi sebab ada mamat ni janji nak beli beg targus dell backpack, (ada aku iklan dalam page FB lappy-shoppe, fan page ade kat tepi, sila rajinkan diri untuk tekan) janji nak collect hari ni, tengah hari kata konfem nak datang, aku tunggu sampai ke malam tak respon2.

*Bersangka baik : mungkin dia tak sengaja, dia tak tipu, mungkin dia kemalangan dalam perjalanan. –.-“

p/p/s: #honeykoyuki, aku rasa aku sudah jatuh. Ahhh. Cinta~

Wednesday, October 20, 2010

Oh, tak ingat nak ucap, “Selamat Hari Hartal”

hartal

hartal 2

gua hari-hari dah ber-hartal. harharharharharharharharharharharharhartal.

semalam gua saja tanya soalan bodoh dalam FB, “Hari hartal takde santa klaus ke?”

Maka-nya seorang Tan Sri pun menjawab, santa hartal muka macam Karl Marx pakai baju merah. Hahaha. Ok gak jawapan tu, boleh buat legend, iaitu pada malam hari hartal, santa marx akan pergi ke rumah-rumah budak yang berjiwa commie dan rebel untuk memberikan hadiah kerana sifat nakal mereka. LOL.

image

Hartal adalah satu insiden yang telah berlaku pada 20 Oktober di Tanah Melayu, 10 tahun sebelum merdeka, apabila rakyat satu semenanjung mogok secara besar-besaran dengan menghentikan segala aktiviti ekonomi, (“Hartal ni, tutup semua kedaaaaiiii~) sebagai tanda protes kepada Kerajaan British ketika itu kerana tidak mempedulikan proposal “Perlembagaan Rakyat”.

Sesiapa nak tahu lebih lanjut pasal apa itu hartal – sila tonton video di bawah ini. Dokumentari pasal sejarah Malaysia yang tidak di-KBSM-kan.

Sepuluh Tahun Sebelum Merdeka from fahmi reza on Vimeo.

atau layari http://10tahun.blogspot.com

SELAMAT HARI HARTAL!

 

 

p/s: muka Karl Marx mmg macam santa kan?

Blog alternatif aku

Aku ada 2 lagi blog lain, yang agak aktif.

1- http://abuubaidah.tumblr.com

2- http://perli-badi.blogspot.com/

dua-dua blog emo dan tak intelek.

Mahu layan? Silakan.

Monday, October 18, 2010

Lama Tak Update, Sekolah Kebebasan dan Projek Bawah Pokok

Hai, lama tak update blog (Argh, aku benci ayat ini. Pasal lepas ni aku mesti akan ucap ayat yang sama lagi bila aku tulis post baru.)

Kenapa tak update blog? Pasal aku ada hidup yang kool. Tak macam ngkorang yang 24 jam mengadap PC, ataupun hanset pintar, ataupun Facebook via SMS by Celcom (kahkahkah), kerana kawan-kawan korang hanya wujud di alam maya.

Come on guys, jadi-lah manusia sikit. Korang hidup kena bersosial, secara live, bukan maya, korang kena merasakan sentuhan fizikal, kena menghidu bau masam kawan korang, merasa air liur basi kawan korang yang cakap tersembur, bukan hanya setakat mengadap muka awek cun dalam FB lepas tu mula-lah menggunakan imaginasi kotor untuk memuaskan kehendak fizikal. What a lame.

Well, sebenarnya aku pon tipu je.

Aku juga seorang internet addict sekarang. Sangat kuat dijajah hegemoni internet, terutama laman facebook. Hell. Yeah.Tapi kalo aku delete Facebook nanti, aku takkan ada kawan dah. Kahkahkah loser. Damn.

Sekian mukaddimah.

Masuk isi 1.

Aku ada 2, 3, 4, 5, 6 dan beberapa lagi kawan yang kool. Diorang yang kool. Aku tak seberapa. Aku dan kawan-kawan aku adalah budak U yang tipikal, suka lepak kedai kopi, merapu, bajet diskusi la konon, tapi sebenarnya cuma perabis-kan kopi.

Sambil-sambil keretek dicucuh, beserta segelas teh tarik sorang satu, melayan sembang, tentang itu, tentang ini, tentang cara nak tekel awek, pasal kereta kena tahan polis, polis mintak duit kopi, pasal budak U yang lemau, pasal kebosanan hidup dekat U, pasal masa depan, pasal duit jongkong emas, pasal AUKU, pasal sistem, pasal kapitalis, pasal sosialis, pasal Islam, pasal itu, pasal ini, macam-macam-lah~

Aktiviti lepak yang konsisten setiap minggu sampai klimaks-nya apabila Jumaat malam Sabtu hari tu kami over-nite di BB.

Rupa-rupanya kami bukanlah remaja yang kool macam anak muda KL yang sering overnite kat BB, sebab bila kami tiba kat BB, betul-betul macam anak rusa terlepas masuk kampung.

Macam masuk dunia baru. Ini masih Malaysia-ka? Serius jakun tak tahu mana nak pergi, last-last kedai mamak gak. Overnite B.B tapi lepak mamak. Haram J. Kahkahkah loser.

Lupakan apa yang kami jumpa di BB malam itu, kerana yang lebih penting, adalah apa yang kami lahirkan daripada aktiviti lepak buang masa anak muda.

Kebosanan menunggu malam menjadi siang membawa kepada diskusi untuk membantu sahabat UKM4 yang dikhabarkan telah kalah dalam perlawanan mereka menentang AUKU di mahkamah – dan kena membayar denda beserta kos guaman sebanyak rm50000 khabarnya. Bermula dengan kenyataan, “Kita kena buat sesuatu untuk tolong mereka”, membawa kepada persoalan “Nak buat apa?” lalu tertimbul idea “Kita busking mau?”

Hell. Yeah.

Keluar idea untuk busking bagi mengumpul dana kepada kengkawan UKM4.

Daripada idea busking nak cari dana, lahir idea untuk membuat Projek Bawah Pokok.

Projek Bawah Pokok adalah satu usaha hasil percambahan idea semasa sesi lepak-lepak sekumpulan budak U dari pelbagai instisusi mengaji tinggi, untuk membudayakan kebebasan ber-ekspresi, dalam institusi-institusi mengaji tinggi dalam negara ini, dan dimulai di UM.

Projek Bawah Pokok ingin mencetus budaya baru, mendobrak dogmatik dalam budaya lama, iaitu budaya yang maha membosankan dalam proses pembelajaran, serta ketika bicara benda-benda so-called benda serius atau benda besar.

Persoalan aku dan kawan-kawan aku, kenapa bila nak bicara benda serius kena nampak serius dan bernada serius. Bosan beb. Tak remaja.

Ini merupakan proses men-tua-kan pemikiran budak-budak yang tak tua.

Maka-nya, kami ingin keluar dengan gaya dan stail baru, lebih spontan, lebih muda, dan lebih emosi, sesuai dengan jiwa muda kami, namun tidak ditinggalkan nila-nilai “serius” dalam setiap tindakan, sesuai dengan status sebagai budak U.

Kerana ingin nampak poyo dan seolah-olah ini merupakan suatu gerakan yang gagah, kool, hip dan trendy, maka nama kumpulan pun diberi - Sekolah Kebebasan (School of Freedom)

Isi 2: Hari Ini Dalam Sejarah.

image

Hari ini dalam sejarah apabila Sekolah Kebebasan benar-benar turun padang dan me-realisasi-kan Projek Bawah Pokok dalam bumi UM.

Aku sendiri macam tak percaya, baru malam Jumaat lalu sembang, hari ni dah jadi betol-betol pulak! Serius aku pun masih macam tak percaya.

Maka-nya, apa yang berlaku tadi, adalah sekumpulan budak-budak berkumpul di bawah sebatang pokok besar, sebelah perpustakaan utama UM, meluah apa saja, mempersembah apa saja yang mereka ada, atas nama kebebasan ber-ekspresi, dan juga dengan niat mahu menghiburkan sesiapa sahaja yang ada disitu, agar mereka menyumbang sedikit wang.

Kami bergitar.

Kami bernyanyi.

Kami berpuisi.

Kami berdrama pendek.

Melalak.

Meraung.

Aku juga meraung, entah apa yang aku laungkan, aku sendiri tak ingat, kerana semuanya tercipta di situ.

Bergitar menyanyikan lagu-lagu demokrasi, ciptaan sendiri, dan juga cover lagu dari seberang.

Berlakon menyampaikan mesej wafer kedai Daily-Fresh itu SEDAP.

Berpuisi menyatakan cindiayu itu semakin layu.

Melaung mengaku aku budak U.

 

 

Puas.

 

Itu yang aku rasa.

Walaupun mungkin dalam kalangan penonton semua ternganga dan terpinga-pinga, mungkin kerana tidak biasa, namun aku rasa aku dan kawan-kawan aku telah melakar sejarah, jikalau tiada akan termasuk dalam kitab di masa kelak pun, paling tidak dalam catatan hidup kami sendiri.

Sekurang-kurangnya bila kami ingin mengeluarkan biografi diri sendiri esok, boleh kami riak dengan mengatakan, “Dulu masa aku belajar, aku pernah buat kerja gila, aku pernah pergi angkat gitar, main tengah orang ramai, bukan dalam dewan, tapi kat tepi jalan, aku melalak sampai semua orang tengok aku” – sungguh, itu merupakan suatu motivasi, dan sebagai manusia, kami memerlukan itu.

Bunyi macam tak ikhlas, tapi kalau kamu tak mahu menghargai aku dan kawan-kawan aku, terpaksa kami menghargai diri sendiri. Itu paling lemau.

Tapi niat kami bukan setakat mencipta sejarah sendiri. Itu hal peribadi.

Niat kami yang ter-utama adalah untuk membudayakan suatu amalan bebas ber-ekspresi, terutama dalam diri budak U yang rata-rata mindanya telah di-doktrin, di-paku, di-bonsai, sehingga wujudnya masyarakat yang tiada kritikal, tiada berfikir, malas membaca, takut dan lemah dan merelakan hak mereka dipijak-pijak.

Budak U yang menjadi harapan kepada masyarakat hanya akan menjadi manusia individualistik yang akhirnya hanya mementingkan perut sendiri.

Budak U yang berharap mengaji pandai dan dapat ilmu, akhirnya hanya menjadi pengguna kepada ilmu yang sedia ada, tanpa mampu mengolah dan mencipta idea baru.

Budak U yang meng-impi-kan menjadi budak yang kreatif, dinamik, dan berkepimpinan hanya akan menjadi seperti robot – patuh kepada sistem yang telah diprogramkan kepada mereka.

Kerana itulah kami mahu mengajak mereka untuk sama-sama membebaskan diri daripada pemikiran yang telah dipacak dalam kepala otak mereka.

Kerana kebebasan adalah pra-syarat untuk menjadi manusia yang lebih terbuka dan bersedia untuk berdepan dengan sebarang perlawanan dalam kehidupan secara jantan, bukannya dengan cara menutup ruang-ruang untuk berbicara kerana takut kalah atau malu (atau terguling dari puncak kuasa).

Walaupun hakikatnya kami juga bukanlah bijak dan sepintar mana, namun kami harap dengan cara ini kami akan dapat belajar.

Sekiranya benar-benar ikhlas mencari, kebenaran akan ter-timbul jua dari celah-celah lambakan perbezaan itu.

 

Letih sudah menulis.

Aku ingin menutup kata ini, denganucapan ribuan terimakasih kepada teman-teman yang bersemangat sehingga aku juga terbawa-bawa. Lihin,Kudin,Ali,Hocy,Aliff,Paan.

Juga kenalan yang menunggu kami menyempurnakan apa yang telah kami janjikan.Ezzat,Fitrah,Moja,dan siapa lagi?

Juga kepada warga pejalan kaki, pelanggan kedai ayam dan wafer, juga tokei kedai ayam dan wafer, walaupun kalian nampak seperti tergamam seketika tadi. Terima kasih kerana ada, walaupun hanya kebetulan.

Hasil kutipan Student Freedom Fund : RM6 ( kahkahkahkahkahkahkahkahkahakahakhakah)

 

 

Sekian.

 

p/s:gambar dan video direkod,tapi kamera dan handycam bukan aku punya,tak dapat nak kongsi.Insya Allah akan datang.

p/p/s:kunjungi blog Sekolah Kebebasan di http://school-of-freedom.blogspot.com. Ada facebook juga, tekan like ya.

p/p/p/s: lain kali kami buat mahu join kah?

Thursday, October 14, 2010

DISCONNECT untuk CONNECT

berapa ramai korang kat luar sana, penagih tegar “dadah sosial media”, yang hidup macam watak dalam video ni?

uh.terasa aku.

Teguran kasar buat sahabat!!

malangnya nasib ibu bapa, mengharapkan anaknya menjadi orang berilmu, namun anaknya kuliah pun xmo pi...

kasihannya kepada housemate&kawan2, berbuih mulut menasihat, tapi habuk pun tarak jalan..

Hinanya Universiti kerana bukan tempat ilmu...maka seharusnya blog2 'so-sial-list'  lah yang memandu hidup dan menjadi ilmu yang lebih baik dari kuliah di universiti juga sebagai tempat cari duit(money oriented)..

tidak malu kah hidup begini?? apa nak malu... hidupkan untuk makan.. makan pula untuk hidup.. makanan yang diproses pula akan jadi tahi.. maka, hidup ini hanyalah untuk mengumpul tahi...

maka aku bertanya,  untuk makan kau mahu apa? tahi anjing atau tahi kucing...??

p/s: lu ada otak.. lu pikir la sendiri!!!

image 

from a friend, to me. bluergh.

dontokshit!

Tuesday, October 12, 2010

Di-ikut Siput Babi

Itu hari ketika aku sedang mengikuti suatu program, tiba-tiba dapat call daripada bapak aku.

“Hello, assalamualaikum”

“Waalaikumsalam, Abu ke?”

“Ha’ah. Nape ba?”

“Ni ada benda sikit nak pesan ni.”

“Ape?”

“Sebenarnya baba tak kisah kalau benda ni datang dari sedara mara sendiri. Tapi ni dari orang luar ni. Hari ni saja baba dah dapat 2 call”

“Call dari sape? Pasal ape ni?”

“Memula dia tanya la, awak ni ayah Abu Ubaidah ke? Lepas tu dia suruh pesan kat awak, jaga-jaga sikit, jangan panas sangat dalam online tu, duk cakap benda-benda anti-kerajaan”

“Erk~~~”

………………………………………………………………………………………………………………

Perbualan habis beberapa lama kemudian. Pergh, agak sentap jugak aku mendengar. Ni dah sampai telepon bapak aku suruh pesan dekat aku ni ape kes?

Macam la aku ni terer sangat menyebarkan propaganda. Aku hanyalah seekor bilis je.

So, aku nak berenti ke?

 

Well…….U know me…kah3

Tuesday, October 5, 2010

Entri Cari Makan : Tolong Like Page Bisnes Aku

Dah lama tak update blog. Entah ada atau tidak orang yang merindui tulisan aku. Entah. Perlu kah aku dirindui? Siapa aku untuk dirindui?

Sudahkan lah merapu.

Ok seperti biasa, aku masih blur dalam kehidupan. Tak tahu nak buat apa. Dan untuk berlaku jujur, aku telah 2 minggu tidak masuk ke kelas, kerana aku rasa kalau aku pergi kelas pun, bukannya aku dapat apa-apa selain membuang masa.

Maka aku cuba untuk mencari erti dan nilai kehidupan aku di luar kelas, dengan cara menghanyutkan diri dalam kehidupan yang caca-marba ini.

Tapi tanpa disedari, tiba-tiba aku crack. Sedar-sedar sumber kewangan aku dah putus. Maka aku nampak-lah apa yang patut aku lakukan dalam jangka terdekat ini, iaitu mencari makan. Disebabkan aku hidup dalam masyarakat konsumerisme, dalam sistem kapitalis, di tengah-tengah kota pulak tu, nak tak nak aku perlu mencari duit untuk mencari makan.

Kenapa aku nak cari makan? Kerana aku nak hidup, untuk terus makan, dan untuk terus hidup, dan untuk makan kerana ingin hidup untuk makan dan terus hidup dan terus makan dan hidup dan makan dan hidup dan makan sampailah kitaran ini berhenti apabila aku mati.

Aku harap di tengah-tengah kehidupan itu aku akan berjumpa dengan jawapan kepada pencarian aku.

Pendekkan cerita, aku menjual barang. Hasil usaha joint-venture dengan beberapa rakan yang baik hati dan bersemangat usahawan, maka aku telah mendapat beberapa sumber untuk dijual kembali.

Dan salah satu prinsip menjual adalah, kena ada promosi, dan di era ini, salah satu cara promosi adalah melalui Facebook. Aku dah buat 2 fan-page, tapi masalahnya Facebook entah apa problem tak bagi aku suggest kepada kawan2 aku, iaitu korang.

Maka, terpaksalah aku menaip entri khas ini untuk meminta jasa baik korang supaya tekan “like” dekat fan-page aku. Boleh tolong?

Ada dekat tepi kanan belog aku ni. Tolong kelik ok?

Tolong tau?

Sekian.

Related Posts with Thumbnails