Saturday, October 30, 2010

29 September – Tanggal Kelahiran Insan Terindah dalam Hidup, Gadis Elektrik Aku

p/s : gua nangis masa tulis ni – bagitau ni bukan mintak puji, tapi nak cakap, gadis elektrik gua saja boleh buat gua kena renjatan.

*Klik play untuk dapat feel gadis elektrik*

*gadis bawah ini bukan gadis elektrik gua*

Hangat nafasmu

menggoncang kalbu

Harum tubuhmu

mengikat jiwaku

INGIN KUBERIKAN DUNIA
ANDAI KUPUNYA KUASA

Sungguh, aku tidak ingat hari ini hari lahirmu. Bukan kerana tidak tahu, tapi kerana menyambut hari lahir bukanlah perkara tahunan yang biasa kita lakukan.

Jujurnya, aku tahu tanggal hari lahirmu pun agak lewat, seingat aku selepas habis sekolah, selepas aku kononnya telah semakin dewasa. Sebelum itu, tak pernah aku peduli, tak pernah aku rasa ingin menyambutnya, kerana, seperti yang telah aku nyatakan, menyambut hari lahir bukanlah amalan yang biasa kita lakukan.

Aku juga tidak ingat sudah berapa kali aku menyatakan ucapan Selamat Hari Lahir kepadamu, mungkin hanya sekali, dua kali, atau hanya tiga, tapi yang pasti tidak lebih lima.

Menyambut dengan kek beserta tiupan lilin? Langsung tidak pernah.

Hadiah hari lahir? Haha.

Dan seperti biasa, aku tidak tahu hari ini hari apa, sehingga engkau yang mengingatkan aku dengan sekeping SMS petang tadi.

Maaf kerana kecuaian.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Engkau adalah gadis pertama yang aku kenal. Aku rasa engkau juga adalah satu-satunya gadis yang paling memahami aku, mungkin lebih daripada diri aku sendiri.

Paling sayang kepada aku.

Dan akan sentiasa sayang kepada aku.

Sehingga akhir hayat, tidak kira aku atau engkau yang pergi dulu.

Jika tidak, masakan engkau akan tabah berseorangan di lembah penuh cabaran itu, bertahun-tahun lamanya, tanpa siapa di sisi, hanya teman-teman yang tiada pertalian darah, bukan saudara, bukan keluarga, tetapi orang asing.

Namun mereka itulah keluarga engkau selama engkau keseorangan membuktikan cinta.

Engkau membuktikan cinta, bukan untuk mengharapkan nama. Bahkan jauh sekali mengharap balasan cinta dariku. Semua hanya semata-mata cinta.

Cinta engkau kepada aku.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Aku rasa aku tidak pernah mengucap rasa sayang kepadamu. Ungkapan cinta, jauh sekali.

Entah. Aku biasa saja mengucap sayang kepada gadis-gadis lain, yang datang dan pergi dalam hidup aku.

Tapi kenapa, apabila berada di hadapanmu, gadis yang datang untuk mencintai aku, dan takkan pergi buat selama-lamanya, aku tidak tahu berkata sayang. Aku tidak reti membahasakan cinta.

Kononnya cinta dan sayang itu tidak perlu diluah melalui bahasa, buktikan saja dengan perbuatan dan tingkah. Hati cuba membujuk diri, memberi alasan.

Atau mungkin juga kerana malu? Atau terlalu ego? Atau aku takut aku akan menangis sekiranya menuturkan kata itu di hadapanmu. Sungguh, kata-kata itu akan hadir dengan air mata, hanya apabila bila aku luahkan kepadamu. Mungkin kerana ia benar datang dari hati.

Bukan seperti gadis-gadis lain, yang aku cuba untuk sayangi, hanya demi kehendak peribadi.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Aku rasa kita selalu bergaduh. Bergaduh bukan kerana salah engkau, tapi aku yang terlalu besar kepala.

Semakin aku besar, semakin aku rasa aku lebih pandai, dan tiap tutur katamu aku rasa bagai tiada erti. Dan setiap kali itu jugalah, aku meninggikan suara, melawan hujahmu.

Namun setiap kali, engkau tidak pernah memarahi aku. Tidak pernah mempertahan status-quo. Malahan engkau yang mengalah, bahkan cuba memujuk menenangkan aku kembali, sehingga akhirnya aku yang malu dan sesal sendiri.

Namun sekali lagi, sesal itu hanya dalam hati, tidak pernah mampu kuluah dengan bicara.

Betapa sombongnya aku!

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Aku hanya mampu menulis. Hendak kuluah dengan kata-kata, aku tidak mampu. Aku sendiri tidak tahu, kenapa diri ini semakin celaka, semakin hilang rasa.

Seharusnya aku yang berdiri di sini kini, mempunyai satu rasa sedar dalam diri, untuk kembali berbakti, untuk kembali membalas segala jasa yang telah engkau taburkan, walaupun engkau tidak pernah meminta, namun itukan tanggung jawab seorang pencinta?

Aku ingin mencintai-mu.

Aku wajib mencintai-mu.

Namun aku semakin hilang rasa.

Di saat aku menulis, aku rasa seperti ingin menangis. Menangis bukan kerana aku mengenangkan segala pengorbanan yang telah engkau curahkan kepada aku, sebaliknya menangis kerana aku tidak mampu merasa semua itu.

Hati ini telah mati.

Mati terhadap segala-galanya, termasuk segala jasa dan kasih yang telah engkau curahkan, walaupun semuanya ada di depan mata.

Mungkin-kah aku akan membuat engkau kecewa kelak?

Aku tidak ingin semua itu, tapi aku juga seolah-olah tidak mampu mengawal apa yang bakal terjadi. Semakin hari aku merasakan diri ini semakin hilang, semakin jauh daripada norma-norma biasa.

Bahasa mudah, aku makin hilang waras. Akan gila barangkali? Akan hilang masa depan? Apa akan jadi pada aku?

Hanya Tuhan yang tahu.

Tapi aku tahu, walaupun apa juga bakal jadi ke atasku, engkau akan tetap di situ, seperti sekarang, seperti dahulu, dan seperti masa depan, engkau akan sentiasa sayang kepada aku.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Engkau seorang gadis paling tabah, paling cekal pernah aku jumpa.

Menyelusuri kembali perjalanan hidupmu, hanya akan membuatkan aku kagum. Kagum pada kegagahan seorang gadis dalam meneruskan hidup, sambil melindungi diriku daripada kematian, tanpa sokongan sesiapa, hanya berbekalkan harapan pada Tuhan.

Dan sekali lagi aku membenci diriku, kenapa aku tidak seperti kamu? Kenapa aku terlalu rapuh menjalani hidup ini? Baru digigit semut sudah menangis, sudah merajuk, sudah terduduk, sedangkan engkau berdepan dengan harimau, naga, bahkan jika seluruh isi dunia menentangmu, engkau pasti akan bertahan sehingga akhirnya.

Semua kerana hanya demi membuktikan cinta.

Tidak. Engkau tidak mahu membuktikan apa-apa. Kerana pembuktian itu, mengharapkan kemahsyuran, mahu disebut-sebut, mengharapkan pembalasan.

Engkau melakukannya hanya kerana cinta. Hanya kerana cinta engkau kepada aku.

Engkau memang hebat.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Apa lagi bahasa bunga-bunga yang harus aku tuliskan.

Apa lagi yang harus aku nyatakan? Kerana walaupun tulisan ini untuk engkau, tapi aku tetap tidak berani untuk meluahkannya kepada engkau.

Apa sakit aku ini? Malukah? Egokah? Sombongkah?

Aku juga tidak tahu.

Akhirnya nukilan ini hanya akan berhenti di sini. Bersemadi di sini. Dibaca oleh sekalian manusia tetapi bukan kamu.

Maafkan aku kerana aku ini lemah jiwa.

Maafkan aku kerana aku tiada upaya.

Maafkan aku kerana tidak menjadi seperti yang seharusnya.

Maafkan aku kerana tiada rasa.

Maafkan aku.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Terima kasih kepadamu.

Terima kasih kepada Tuhan yang telah melahirkan kamu pada tanggal ini.

Terima kasih kepada kamu kerana ada, kerana tanpa kamu, aku tiada.

Terima kasih atas segala jasa.

Terima kasih atas segala kasih dan manja.

Terima kasih atas segala lelah dan usaha.

Terima kasih atas segala yang telah engkau suapkan.

Terima kasih atas layanan.

Terima kasih atas didikan.

Terima kasih atas ajaran.

Terima kasih atas segala wang yang telah engkau laburkan.

Terima kasih atas segala kepedihan yang engkau tanggung demi aku.

Terima kasih atas segala kesakitan yang engkau rasakan demi aku.

Terima kasih kerana pernah mempertaruhkan nyawa demi aku.

Terima kasih kerana pernah memarahi aku.

Terima kasih kerana pernah membuat aku ketawa.

Terima kasih kerana tetap menerima aku, apa adanya aku.

Terima kasih kerana engkau akan sentiasa dan selama-lamanya berdoa untuk aku.

Terima kasih atas cinta.

Terima kasih atas sayang.

Terima kasih atas syurgamu.

Terima kasih……..atas segalanya.

 

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Semoga Tuhan sentiasa merahmati gadis elektrik aku.

Maziah Wan Ismail. Ibu mithali aku, selama-lama.

“Mak, maaf kerana luahan Abu hanya di dalam blog. Selamat hari jadi. Maaf segala-gala. Maaf segala-gala. Maaf segala-gala.”

“Tuhan, Engkau peliharalah mak aku. Janganlah Engkau biarkan mak aku merana kerana aku. Dunia akhirat”

2 comments:

  1. abu,aku faham perasaan kau.

    sayang,tapi tak mampu memberi
    sayang,tapi tak berdaya menunjuk
    sayang,tapi tak larat menyayang

    dia tak harap semua tu, yang penting, satu hari nanti, kau masih dan akan terus panggil dia Mak.

    ReplyDelete
  2. @squesha:

    thanks sebab memahami.
    memang ibu bapak x penah mintak balasan
    tapi sepatutnya aku dapat merasa tanggung jawab itu,
    jika aku benar2 sayang mak aku.

    tapi tu ah, aku semakin benci diri aku,
    yang seolah2 sudah tiada perasaan.

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails