Sunday, July 18, 2010

Aku Melabon Lagi Pasal AUKU

Peace yo. Seperti yang korang semua sedia maklum, khamis malam hari tu aku telah pegi lagi ke siri kuliah umum AUKU yang diadakan di KLSCAH. Semalam siri ke-3, dan pengisian malam tu merupakan forum yang menampilkan 3 orang aktivis mahasiswa yang sudah lali bermain dengan AUKU, dengan Fahmi Reza menjadi moderator.

Aku macam biasa, pergi ke sana dari rumah di Setapak dengan pablik transpot je. Dari rumah aku, naik bas rapid ke stesen LRT, lepas tu naik LRT Aliran Kelana Jaya ke KL Sentral, tukar pulak monorel ke Maharajalela. Balik malam tu, aku helo bapak aku, dia tunggu kat Chow Kit.

Malam tu punya event macam biasa, kool, sarat dengan info-info pasal AUKU, tapi aku rasa macam ada kekurangan ah nak banding dengan yang minggu lepas punya. Haha entahlah, haruskah aku komen pasal benda ni? Boleh la kan, ini blog aku, sukahati aku lah nak berkata apa pun kan?

Minggu lepas punya sesi aku rasa lebih enjoy. Walopun memang matlamat utama pegi lecture tu adalah untuk menambahkan info pasal AUKU, tapi bagi aku, keseronokan juga merupakan motivasi untuk aku terus bergiat aktif hadir ke majlis-majlis sebegini. Walopun panelis itu malam muda-muda lagi belaka nak banding ngan Azmi Sharom minggu lepas yang dah berumur 40 ++, tapi pesal aku rasa Azmi Sharom macam lagi remaja dari korang ek? Haha.

Azmi Sharom pun bukan gebang kosong, banyak jugak input aku dapat, tapi dalam masa sama dia meng-enjoy-kan aku. Korang lak, bukan aku tak enjoy langsung, tapi kurang sikit la. Tak nafikan, korang yang jadi panel tu memang ada karisma dan bakat tuk jadi pemimpin, tapi, err, tak leh ke jadi remaja sikit? Hahaha…

Maksud aku dari segi gaya, style dan attitude. Baru la ramai budak U yang kaki enjoy ni suka pergi tonton korang melabon.

Ok dah cukup kritikan peribadi. Sekarang adalah masa untuk aku berkongsi apa yang aku dapat malam itu.

Aku sampai sana agak lambat sikit, dalam 15 minit majlis dah jalan baru aku sampai. Sampai-sampai je Syazni Munir dah bekecek. Munir ni kawan aku, aku dah nak masuk 3 tahun kenal dia. Selalu aku dengar dia berucap agak best gak, cuma malam tu macam terlalu slide-oriented sangat (oh hentikanlah komen2 pasal masalah remeh ni, ok? haha maaf).

Ape yang Munir present malam tu banyak persamaan dengan apa yang Azmi Sharom cerita minggu lepas, pasal AUKU vs Perlembagaan Negara, dan dia gak bagi takrifan pasal Autonomi Universiti dan Kebebasan Akademik.

So, berdasarkan apa yang dia bagitau, Autonomi Universiti ni bolehlah ditafsirkan sebagai kuasa mutlak universiti untuk menentukan segala dasar dan polisi diorang berkaitan apa saja benda dalam U itu. Aku tak tahu apa status U sekarang, sebab tak silap hari tu Najib ada umum dalam RMK-10 yang dia nak bagi balik kuasa autonomi U ni, Tapi macam mana bendtuk autonomi tu aku tak tahu.

Kebebasan Akademik pulak, maksudnya setiap warga U, samada pensyarah, pelajar atau sape-sape saje yang teringin nak buat kajian tentang apa-apa saja isu, topik, perkara, bebas melakukan kajian tersebut, dan bebas jugak nak membentangkan hasil kajian yang didapati, tanpa boleh ada kekangan daripada mana-mana pihak samada majikan (universiti), kerajaan atau institusi keagamaan. Kecuali la orang yang buat kajian tu tak ikut prosedur-prosedur yang telah di-standard-kan dalam dunia akademik.

Tapi kalo tengok situasi kini, belum cakap buat kajian lagi, ko nak bercakap pasal isu yang “panas” sikit pun dah tak boleh. Dah nak cakap pun tak boleh, nak buat kajian? Kena gelak jer la kot.

Tapi aku jugak berpendapat kebebasan akademik ni merupakan kebebasan untuk budak U berdebat dan berbicara tentang apa saja isu, bukan menerima apa saja yang diberitahu oleh orang atas secara bulat-bulat, sebaliknya ko kena cabar apa saja idea, try goncang kiri kanan atas bawah, sampai last sekali ko puas hati, jumpa jawapan samada ko nak pegang ke nak rejek idea itu. Kalo rejek, apa lak yang kamu nak pegang? Cadangkan satu.

Begitu sepatutnya. Universiti adalah umpama “Pasar-pasar Idea”, tempat ko nak memilih idea mana yang terbaik untuk diri ko dan masyarakat. Tapi kalo budaya kebebasan akademik ini disekat atas alasan isu sensitif, menjaga nama baik U, ataupun menjaga keselamatan negara (yang tak pasti lagi mana ancamannya), hasilnya budak U akan jadi macam lembu lah. Dicucuk hidung, tak berpikir.

Dan di akhir ucapan Munir, beliau menggariskan beberapa hak yang sepatutnya menjadi makanan asasi budak U, iaitu:

1-Hak untuk berpersatuan (nak bukak persatuan atau nak join persatuan), samada NGO atau kerajaan atau parti politik atau apa-apa saja dan berhak juga mengutip dana untuk persatuan yang dia buat itu. (Sekarang sebarang persatuan tak boleh kutip dana kecuali ada kebenaran)

2-Hak untuk kebebasan akademik.

3-Hak untuk bersuara, berhimpun dan meluah apa-apa saja pendapat terhadap apa saja perkara samada dipersetujui atau ditentang, sesuai dengan peranan budak U sebagai ejen “Check & Balance” kepada negara.

4- Hak untuk dibicarakan secara adil. Untuk pengetahuan korang, buat masa ni, kalo ada mana-mana budak U yang dicaj atas satu-satu kesalahan bawah AUKU, budak itu hanya boleh diwakili oleh seorang makhluk lain, dengan syarat makhluk itu adalah kakitangan U ataupun pelajar U.

Tak boleh upah lawyer.

So, persoalannya, bagaimanakah budak-budak U yang tak pernah menghadapi prosiding, tak tahu tentang tata cara dan prosedur AUKU, tak tahu jugak tentang AUKU, boleh membela dirinya apabila didakwa dalam perbicaraan?

Ataupun diorang anggap mahkamah U ini adalah mahkamah dummy semata-mata? Kalo macam tu, tak yah ada AUKU ah.

5- Hak untuk berpolitik (perlu aku ulas ke?)

6- Hak untuk membentuk undang-undang dan polisi sendiri dalam persatuan diorang serta “Kerajaan Mahasiswa” di U. Contohnya MPM yang menang pilihanraya, kalo skang ni kat UM, apa yang aku nampak, fungsi paling best diorang hanyalah menganjurkan Festival Konvo. Itu pun masih di bawah “tunjuk ajar” HEP.

Sepatutnya kuasa MPM adalah lebih dari itu, kerana mereka adalah kerajaan untuk budak-budak U. Dioranglah sepatutnya yang mengurus tadbir tentang hal ehwal pelajar. Bukan HEP.

Dan juga persatuan-persatuan dalam U sekarang ni.Kenapa nak buat program mesti ada kebenaran HEP? Ini persatuan budak U, bukan persatuan HEP. Kena ber-KKD, ber-protokol2 segala. Weh dulu asal-usul HEP ni tak wujud la. Aku rasa HEP ni fungsi sebenar dia adalah untuk bagi budak-budak pro-admin universiti (kaki ampu lah) yang tak dapat keje memana supaya tak menganggur kot. Hahaha.

Seterusnya panelis ke-2, Lucas a.k.a Yap Heng Lung. Lucas ni pun kawan aku jugak. Walaupun dia ni tinggi dan berpotensi untuk jadi macho, tapi dia memilih untuk menjadi lelaki comel. Hahaha. Bukan lembut okeh, comel. Lain tu.

Lucas merupakan ex-student USM, sekarang sedang “ditindas” di bawah NGO bernama SUARAM.

Dan pada forum itu Lucas membicarakan soal sejarah berkaitan pelajar-pelajar U yang dikenakan AUKU bermula tahun 1999 sehingga 2010.

Banyak kalau aku nak senaraikan kat sini. tapi ada beberapa perkara yang aku rasa perlu di-hi-lite-kan, supaya korang dapat bau kebusukkan AUKU ini.

Biasanya kalo sebut budak U yang kena AUKU, mesti ramai yang akan buat muke selebet pastu kata, “sape suh maen politik?” Tapi tahukah korang sebenarnya AUKU itu juga pernah menganiaya budak-budak U yang langsung tak terlibat dengan politik?

Sebagai contoh, pada tahun 2000, Mohamad Rizal, pelajar UUM tahun tiga yang mengikuti kursus Account, didapati bersalah ketika memberikan kenyataan debat dalam ‘Asdul Rasak’ debat bengkel yang diadakan pada Februari tahun 2000.

Dia telah digantung 3 semester daripada pengajiannya oleh pihak universiti. Pada 4 Mac, dia dibawakan ke prosiding dengan tanpa peluang untuk membelakan diri seterusnya hukuman dijatuhkan kepadanya. Dia ialah orang yang pertama dihukum olehkerana kebebasan bersuara dimana kebebasan ini termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dan Pada Mei 2001, mahasiswa dari USM dihalang daripada mengambil bahagian pertandingan debat di Singapore’s Nanyang Technological University. Presiden Persatuan Bahasa Tionghua USM, Lee Yen Ting, mengeluarkan satu kenyataan akhbar untuk menunjukkan pihak universiti melakukan diskriminasi dan bertindak tanpa sebab.

Kenyataan dan liputan akbar ini telah memberikan tekanan kuat kepada pihak universiti USM. Pada 3 Julai, 6 mahasiswa telah didakwa di prosiding universiti. Setelah beberapa perbicaraan tertutup, Lee Yen Ting dan Secretari Persatuan Bahasa Tionghua Choo Chon Kai, didapati bersalah kerana mengeluarkan kenyataan kepada media tanpa kebenaran unversiti dan didendakan RM200, manakala 4 lagi mahasiswa didendekan RM150 masing-masing..

2007, Lee Song Yong, seorang pelajar UPM yang dituduh tidak memberi kerjasama apabila Pak Gad hendak memeriksa beg beliau dan bertindak kasar tanpa penjelasan yang wajar. Budak itu membuat aduan, tetapi akhirnya dia pulak dituduh tidak bekerjasama dengan Pak Gad, dikenakan hukuman bawah AUKU, digantung 1 sem.

2008, Chu Kok Wei, pelajar UUM yang membantah yuran yang dikenakan untuk perkhidmatan bas, juga telah dikenakan tindakan AUKU.

Itu sekadar beberapa contoh. Yang join politik lagi lah, tak cukup dengan AUKU, kena tahan ISA pun ada.

Cuma nak cakap kat sini, kalo ada orang yang cakap AUKU ni hanya untuk mereka yang join politik sahaja, sebenarnya mereka silap. AUKU ini sebenarnya adalah untuk menjadikan budak-budak U ni tunduk dan patuh kepada universiti mereka.

So, bagus la kan? Semua ikut peraturan. Aman damai dunia.

Bab aman damai tu memang ya, tapi masalahnya apabila hanya pandai mengikut, bila masa otak ini digunakan untuk membuat keputusan? Kalau setakat keputusan nak pakai baju mana nak jumpa awek, itu level budak tak masuk U pun layak pikir, tapi ini persoalan tentang perkara-perkara yang lebih kritikal, soal-soal tentang segala macam sistem masyarakat, ekonomi, pendidikan, kenegaraan dan sebagainya yang ko tak boleh nafikan memang bermasalah kini, siapa lagi yang wajib membincangkan perkara ini kalau bukan budak U? Nak tunggu habis belaja?

Maaf lah wei, masa tu dah pikir tentang nak puaskan nafsu serakah nak keje, beli kereta, rumah, kawen, dah terlambat kalau baru nak belajar berpikir masa tu.

Seterusnya panel ke-3, Hilman Idham. “Budak jahat” dari UKM ini adalah mangsa terbaru AUKU yang masih dalam perbicaraan, iaitu kes UKM 4.

Ini kali ke-2 aku melihat dia berbicara secara live. Kali pertama adalah semasa Konvensyen Mahasiswa Nasional anjuran Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) beberapa bulan lalu. Budak ni tak silap aku sebaya je dengan aku, tapi gaya dan bakat toksah cakap lah, memang politician abes. Mungkin sebab dia ni jurusan sains politik kot.

Dan apa yang Hilman bentangkan semalam ialah mengenai seksyen-seksyen lain dalam AUKU yang membuktikan kebusukan AUKU, selain seksyen 15 yang sering dipertikaikan.

Antaranya ialah seksyen 4 dalam AUKU (aku malas nak buh printscreen pasal apa yang dia tulis, itu kerja rumah korang, okeh? Google kan ada sayang~)

Seksyen 4 ini membicarakan soal kuasa menteri (pengajian tinggi ) untuk melantik mana-mana NC. Walopun NC dikatakan dilantik atas sebab akademik, namun pemberian kuasa yang amat luas kepada menteri akan mendedahkan juga kepada perlantikan yang mempunyai kecenderungan politik. Dah menteri itu sendiri jugak orang politik, maka kebarangkalian itu pasti ada, bukan?

Hilman Idham jugak menyentuh pasal kelompangan-kelompangan yang wujud selepas pindaan AUKU pada 2008, yang dia cakap macam pindaan “tergesa-gesa”. Antaranya AUKU baru ini tidak memperuntukkan sebarang hukuman atas segala kesalahan yang telah ditulis.

Akibatnya, sedara Hilman dan geng UKM4 beliau yang didakwa atas AUKU, sekiranya disabitkan kesalahan, akan didakwa mengikut Kaedah Tatatertib Universiti, dan bukannya AUKU. Hal ini menurut Hilman adalah melanggar “natural law of justice”.

Mana boleh ko dituduh buat kesalahan atas satu peraturan yang lain, tapi bila dihukum, digunakan peraturan yang lain pulak, kan?

Banyaklah jugak lagi, tapi aku masa ni dah habis mood menyalin, so tak dapat nak share sumer ngan korang. Hahahahaha. Maaf.

Okeh, seterusnya adalah sesi soal jawab, dan aku rasa pada malam tu merupakan sesi yang paling best, walopun bilangan yang bertanya itu hanya sedikit (haih, ape nk jadi ngan budak U ni), tapi bilangan sedikit yang bertanya itu sudah cukup membuatkan suasana bertambah hangat. Hoho.

Soalan pertama diajukan oleh Yang Berhormat Tan Sri Izmil (sebenarnya dia student USA (UiTM Shah Alam), dia poyo je Tan Sri2 tu), bertanya pasal banyak benda jugak, antaranya pasal pendapat yang mengatakan perlukah budak U ni menubuhkan sebuah parti baru, sebagai check & balance kepada parti-parti besar yang dah ada.

Budak U merupakan golongan yang non-parisan, diorang tak terikat dengan mana-mana parti, dan perjuangan diorang adalah berdasarkan prinsip-prinsip yang diorang pegang. So sememangnya budak U ini menjadi 3rd force yang akan sound apa saja kesalahan yang dilakukan samada oleh pihak government atau oposisi.

Tapi based on experience aku terlibat dalam aktivism di kampus, memang payah nak cari grup or individu yang betul-betul bebas, kecuali hanya di bibir. Banyak gerakan budak U masakini telah di-control sehingga akar umbi oleh parti-parti politik di luar sana, tak kiralah Umno-BN ke ataupun PAS, PKR ,DAP mahupun geng-geng Ibrahim Ali si Katak Lompat Perkasa. Akibatnya, lahirlah ramai aktivis yang aku gelar sebagai aktivis poseur, kerana mereka hanya ikut-ikut dan buat apa yang disuruh tanpa berpikir ia betul atau tidak, hanya kerana ia dikatakan betul oleh pemimpin atasan mereka yang juga ikut-ikut orang atasan mereka yang berasal dari mana-mana parti politik.

Kemudian suasana dimeriahkan lai oleh soalan dan pertanyaan oleh “Ustadz Celup Berambot Kerinting” – Firdaus Zulkafli d Kechik – yang bikin kelakar tapi mengajukan satu idea yang aku rasa amat baik untuk kita pikir bersama.

Dia menyoal, apakah sekiranya AUKU ini dibubarkan, budak U akan menjadi lebih giat ber-aktivism? Akan menjadi lebih intelek? Lebih kritis? Lebih rancak membaca buku dan melontarkan idea – idea mencabar?

Ataupun keadaan tetap sama, tiada perubahan, dan budak U akan terus dengan Facebook serta segala macam lagi keriangan kanak-kanak mereka.

Hal ini kerana sedara Kechik berpendapat bahawa AUKU itu bukan punca kepada kelesuan anak muda masakini, tetapi sistem pendidikan yang bermula lebih rendah, yang sejak dari mula mengajar anak-anak Malaya ini untuk membesar menjadi suatu generasi yang hanya tahu mengangguk apa saja kata guru, tanpa pernah mempersoalkan idea guru itu.

Sebenarnya soalan Kechik itu berdasarkan satu artikel daripada blog Diskopi. Boleh klik SINI.

Dan panelis pon bersetuju dengan pendapat Kechik itu, memang akan tiada perubahan sekiranya AUKU dimansuhkan. Mahasiswa akan terus lesu, kerana untuk menjadikan ia suatu budaya, bukanlah boleh dilaksanakan dalam semalaman sahaja.

Namun bagi Munir pula, akan sentiasa ada golongan mahasiswa tegar ber-aktivism, tak kiralah apa jadi sekalipun. Golongan “the active few” ini akan sentiasa terus mencabar, tanpa peduli AUKU itu diketatkan, dipinda atau dimansuh sekalipun, dan menganggap AUKU itu hanya sebagai lauk dalam perjuangan mereka.

Memang aku bersetuju dengan Munir itu, tapi sampai bila perjuangan korang akan setel kalo betul-betul yang amik port itu hanya segelintir kecil sahaja. Nak tak nak, kena jugak cari jalan untuk menyebarluaskan budaya ini kepada lain-lain budak U yang selama ini tak ambik kesah tentang apa yang jadi dalam masyarakat, selagi mana isu itu tak kena batang hidung diorang sendiri.

Sejarah Demonstrasi Baling telah membuktikan, untuk memobilasi ribuan mahasiswa untuk turun sama dalam beraktivism bukanlah suatu yang mustahil Jika pada zaman tiada henset dan internet pun mereka mampu menyebarkan idea, apa lagi zaman ini yang penuh dengan kemudahan komunikasi di hujung jari?

Ada 2,3 lagi soalan diajukan tapi aku tak rekodkan, so memori aku tak mampu nak korek balik.

Dan kemudian panelis memberikan ucapan pergulungan, satu minit sorang. Sekadar mengulas kembali pandangan masing-masing tentang AUKU, dan akhirnya membawa kepada kesimpulan yang sama, iaitu AUKU patut dimansuhkan, walaupun mereka menyatakan bahawa aktivism mereka takkan berubah walau apa jadi sekalipun. Cuma, demi kepentingan ramai, maka AUKU wajar dihapuskan.

Sebelum aku menutup kata, aku ingin mengajak korang untuk ikut sesi terakhir dalam siri-siri “Public Lecture” AUKU ini, minggu depan yang akan menyaksikan perbentangan “Magna Carta”, alternatif kepada AUKU yang telah digubal sendiri oleh Gerakan Mahasiswa Mansuhkan AUKU (GMMA), beberapa tahun lalu. Pastikan korang tak ketinggalan menyaksikan pendedahan esklusif ini! Yeah~

Dan aku tinggalkan korang dengan sedikit gambar-gambar dari lens buruk henset aku.

Image0473 Image0475 Image0476 Image0478 Image0479

Sekian.

 

 

p/s: maaf kerana mengambil masa yang lama untuk post entri pasal ini, sebab terlalu banyak idea yang perlu aku susun. Haha ala-ala buat tesis berbahasa supermarket lak :D

p/p/s: 2 hari aku tulis oh! hahaha~padehal takdelah intelek mana pon. LOL. takpe yang penting korang paham. Yeah!

1 comment:

  1. thanks bro.... for this post
    penyampaian yang bernas...

    AUKU harus dimansuhkan... perlaksanaan nya agak merepek meraban. lagilah diterajui oleh line up Umngok yang akan seboleh bolehnya membantutkan usaha para mahasiswa untuk berdemokrasi terhadap apa yang difikirkan betul di saat zaman mereka. kerna mereka punyai fikiran yang segar dan jitu jika di banding kan dengan si tua nyanyuk tu (orng2 parlimen).

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails